KUALA LUMPUR: Kehadiran ejen perisikan asing, khususnya dari agensi risikan Israel, Mossad, ke Malaysia disifatkan sebagai ancaman keselamatan nasional yang amat serius, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau mengulas pendedahan kerajaan baru-baru ini berhubung operasi sulit Mossad di tanah air, termasuk penglibatan rakyat tempatan sebagai perantara, yang didakwanya menjejaskan kedaulatan dan kestabilan negara.
“MAPIM memandang berat isu ini dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan serta memperkukuh operasi risikan terhadap elemen asing yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Azmi yang juga Setiausaha Agung Aliansi Masjid Sedunia Pertahankan Al-Aqsa, menegaskan bahawa sebarang bentuk kerjasama antara rakyat Malaysia dengan ejen asing terutamanya Mossad adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan umat Islam sejagat.
“Mossad bukan sekadar agensi risikan, ia terbabit dalam sabotaj, pembunuhan terancang, dan penyusupan ideologi yang boleh menggugat keamanan negara,” tegasnya.
Susulan ancaman ini, MAPIM menggesa kerajaan segera melaksanakan beberapa langkah kritikal seperti menahan individu yang menjadi tali barut ejen asing tanpa kompromi dan menguatkuasakan undang-undang keselamatan negara dengan tegas.
Selain itu mereka menggesa pemantauan saluran komunikasi dan rangkaian sosial yang terdedah kepada pengaruh luar, menjalin kerjasama erat dengan negara-negara Islam untuk memantau kegiatan risikan Zionis di Asia Tenggara, selain melancarkan pendidikan awam dan kempen kesedaran bagi membentengi rakyat daripada dakyah proksi Israel.
MAPIM turut menyeru semua pihak termasuk masjid, NGO Islam, pertubuhan belia dan mahasiswa agar lebih cakna terhadap bahaya perisikan asing, yang bukan sahaja menyasarkan keselamatan negara tetapi juga berkait langsung dengan agenda zionis terhadap Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
“Kehadiran ejen Mossad di Malaysia adalah amaran besar kepada kita semua. Negara perlu bertegas. Rakyat perlu berwaspada. Jangan biarkan tanah air menjadi tapak operasi musuh Islam,” katanya.