Mana-mana Pihak Yang Hina Agama Wajar Diambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR: Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan kerajaan dalam mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja yang menghina agama tanpa pilih kasih, selaras dengan peruntukan undang-undang negara.

Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata bahawa proses siasatan dan pendakwaan kes-kes penghinaan Islam sebelum ini telah menunjukkan bahawa kepentingan awam diambil kira demi menjaga keharmonian negara.

Beliau menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri bagi memastikan kes penghinaan agama Islam dibawa ke muka pengadilan.

“Agensi-agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tindakan diambil tanpa pilih kasih,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa mana-mana pihak yang menghina Islam akan dipanggil dan disiasat mengikut saluran undang-undang yang dikuatkuasakan.

Beliau turut mengutuk tindakan segelintir pihak yang tidak menghormati sensitiviti agama di negara ini sehingga mencetuskan kegelisahan awam.

“Semua pihak diseru untuk menghormati undang-undang serta proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa demi kepentingan negara,” ujarnya.

Mohd Na’im juga menegaskan bahawa agensi-agensi di bawah kementeriannya sentiasa komited untuk memelihara kesucian agama Islam serta menjaga keharmonian dalam konteks kemajmukan masyarakat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata polis sedang menyiasat sebuah video yang tular di media sosial sejak kelmarin yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.

Menurut beliau, pihak polis juga sedang mengenal pasti individu di sebalik akaun ‘Vijayan Savarinathan’, selepas video berdurasi lebih tiga minit itu dimuat naik di laman Facebook.

BBerkaitan

Latest articles