Malaysia-Turkiye Digesa Bekerjasama Dalam Bidang Teknologi, Digitalisasi, AI

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkiye perlu bekerjasama dalam bidang seperti perkongsian teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) untuk menghadapi cabaran global dan mencapai kemakmuran bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kedua-dua negara mempunyai ekonomi yang saling melengkapi, jadi kerjasama erat penting untuk meningkatkan lagi ekonomi masing-masing.

Anwar berkata dengan bekerjasama, kedua-dua negara dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam keadaan yang berubah-ubah, meluaskan pilihan mereka dan mengekalkan fleksibiliti dalam menangani kegagalan negara maju mematuhi orde antarabangsa berasaskan peraturan.

Beliau berkata, ketika negara-negara di seluruh dunia mencapai perkembangan pesat teknologi, terutamanya dengan kemajuan AI, terdapat keperluan untuk berhenti seketika dan menerima realiti.

“Kita tidak seharusnya terlalu teruja mahupun dikuasai oleh ketakutan yang menyebabkan tidak mampu untuk bertindak,” kata Anwar semasa syarahan umum bertajuk “Peralihan Kuasa: Pilihan Strategik Untuk Malaysia dan Turkiye ” di Ankara, hari ini.

Perdana Menteri kini sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye yang bermula pada Selasa.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkiye mencecah US$5.2 bilion pada 2024, dengan sasaran baharu ditetapkan untuk menaikkan angka tersebut kepada US$10 bilion (US$1=RM4.05).

Dari Januari hingga November 2025, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye berjumlah RM21.2 bilion, dan republik itu terus menjadi rakan dagang yang penting bagi Malaysia.

Pada 2024, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, selama beberapa dekad pembangunan pesat di negara membangun menyaksikan perindustrian menyerap tenaga kerja, upah meningkat, dan kemunculan kelas pertengahan.

Namun, kata beliau, keadaan itu kini mula berubah.

Beliau menjelaskan apabila mesin semakin mengambil alih bukan sahaja tugas rutin tetapi juga tugas kognitif, kelebihan kos buruh yang kompetitif mula berkurangan.

“Model pertumbuhan yang dibina berdasarkan pembuatan berintensif pekerjaan akan berdepan tekanan, dan jika peralihan ini tidak ditangani dengan baik, ketidaksamaan dan ketidakstabilan akan menjadi lebih mendalam dan besar.

“Bagi Malaysia dan Turkiye, keadaannya adalah serupa, kerana kedua-duanya merupakan ekonomi pembuatan dengan populasi muda,” kata Anwar.

Beliau berkata kedua-dua negara bersepadu ke dalam pasaran global dan terdedah kepada gangguan teknologi merentasi pelbagai sektor.

“Cabaran kita adalah untuk memastikan rakyat kita membangunkan keupayaan yang tidak dapat ditiru oleh mesin, seperti pemikiran kritis, kreativiti, pertimbangan beretika dan kepimpinan, yang memerlukan kajian semula terhadap pendidikan,” kata Perdana Menteri.

Dalam keadaan ini, Anwar berkata, pembelajaran secara hafalan tidak akan mencukupi, dan sistem latihan mesti memupuk kebolehsuaian dan penyelesaian masalah, supaya teknologi kekal sebagai alat kawalan manusia dan bukan kuasa yang mengawal manusia.

Beliau juga berkata sistem digital kini membentuk peluang ekonomi, wacana awam dan tadbir urus, dan negara-negara tidak lagi boleh menganggap infrastruktur ini sebagai neutral.

Oleh itu, Anwar berkata, bahawa keupayaan untuk menetapkan piawaian, melaksanakan akauntabiliti dan melindungi kepercayaan orang ramai dalam bidang digital telah menjadi fungsi teras kerajaan.

“Jika diuruskan dengan baik, AI boleh menyokong pertumbuhan yang merangkumi lebih ramai orang. AI boleh menambah baik akses kepada penjagaan kesihatan, meningkatkan pendidikan dan meningkatkan produktiviti merentasi pertanian, perkhidmatan dan pembuatan.

“Inisiatif ini bergantung kepada kapasiti institusi, pelaburan awal dan kesediaan untuk menyelaraskan perubahan teknologi dengan tujuan sosial,” katanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles