Malaysia Teraju Revolusi Keselamatan Digital ASEAN Era Pascakuantum

KUALA LUMPUR: Dunia kini di ambang revolusi keselamatan digital apabila pakar kriptografi menggesa tindakan segera bagi beralih kepada sistem penyulitan kalis kuantum, susulan amaran bahawa komputer kuantum mampu menembusi perlindungan data sedia ada dalam masa terdekat.

Seruan itu disuarakan di Persidangan Kriptografi Pascakuantum 2025 yang menutup tirainya di Kuala Lumpur semalam, iaitu satu perhimpunan terbesar dunia dalam bidang keselamatan siber kuantum yang dianjurkan oleh Public Key Infrastructure (PKI) Consortium.

Selama tiga hari (28–30 Oktober), lebih 2,500 pakar, penggubal dasar, dan peneraju industri dari lebih 30 negara berhimpun bagi merangka pelan tindakan global memperkukuh keselamatan digital menjelang era komputer kuantum.

Dalam sidang berkenaan, Kementerian Digital Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut memperkenalkan Pelan Hala Tuju Kesiapsiagaan Kriptografi Pascakuantum Kebangsaan, menjadikan Malaysia antara negara pertama di ASEAN memimpin kesiapsiagaan terhadap ancaman kuantum.

Pelan itu menetapkan strategi negara untuk membina ekosistem digital selamat, sejajar dengan piawaian antarabangsa serta memperkukuh daya tahan sektor strategik negara.

PKI Consortium dalam persidangan tersebut turut melancarkan Model Kematangan Kriptografi Pascakuantum (PQCMM), rangka kerja global yang membantu organisasi menilai dan merancang peralihan kepada sistem penyulitan baharu.

“Inilah detik untuk bertindak. Jika kita tidak mula menggantikan sistem kriptografi lama, komputer kuantum akan menjadikan semua data kita terdedah,” tegas Paul van Brouwershaven, Pengerusi PKI Consortium dan Kumpulan Kerja Kriptografi Pascakuantum.

Sementara itu, Chris Bailey, Pengerusi Lembaga PKI Consortium menambah, “Peralihan ini mesti berlaku segera dan secara kolektif. Tiada pilihan lain.”

Selepas kejayaan penganjuran di Malaysia, Persidangan Kriptografi Pascakuantum 2026 bakal diadakan di Jerman, dengan tumpuan terhadap pengalaman sebenar migrasi sistem penyulitan dan pembangunan kapasiti global.

BBerkaitan

Latest articles