PUTRAJAYA: Malaysia disaran segera menggubal undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani potensi ancaman teknologi itu yang semakin berkembang pesat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut Azalina, pihaknya telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi mencadangkan pembentukan jawatankuasa bersama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Kementerian Digital untuk meneliti aspek perundangan berkaitan AI.
“Cabaran terbesar hari ini ialah AI yang menggunakan format-format tertentu secara kompleks. Kita perlu ada satu kerangka perundangan yang kukuh untuk mengawal penggunaannya demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya selepas melancarkan Akademi Perundangan Kebangsaan, hari ini.
Azalina turut menjelaskan bahawa ketika ini Kesatuan Eropah (EU) merupakan satu-satunya kuasa besar yang telah mempunyai perundangan AI yang lengkap, menerusi EU AI Act, dan menyarankan Malaysia meneliti akta tersebut sebagai rujukan utama untuk dibangunkan dalam konteks tempatan.
“Malaysia tidak boleh ketinggalan. Kita harus bergerak seiring dengan dunia dalam menangani isu-isu AI termasuk penyalahgunaan data, deepfake, diskriminasi algoritma dan privasi maklumat,” tegasnya.
Mengulas tentang peranan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Azalina berkata pelbagai jawatankuasa kini dipengerusikan oleh hakim-hakim berpengalaman termasuk yang telah bersara, bertujuan meneliti perubahan landskap teknologi yang menuntut reformasi institusi kehakiman.
Beliau turut menyentuh usaha pendigitalan sistem mahkamah, termasuk pelaksanaan sistem suara-ke-teks dan sistem perbicaraan dalam talian.
“Apa yang kita mahukan ialah sistem kehakiman yang lebih efisien dan selari dengan keperluan zaman,” katanya.
Terdahulu, Menteri Digital Gobind Singh Deo memaklumkan bahawa Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) sedang dalam fasa akhir memuktamadkan laporan penuh mengenai cadangan peraturan serta kemungkinan penggubalan undang-undang khusus untuk AI.
Langkah ini dijangka menjadi sebahagian daripada usaha Malaysia menyelaraskan strategi digital nasional dengan perkembangan global, termasuk dalam aspek keselamatan siber dan etika kecerdasan buatan.