PUTRAJAYA — Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN AI Summit 2025 (AAMS25) pada 12 dan 13 Ogos ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), menghimpunkan pemimpin serantau, pakar industri dan tokoh akademik bagi membincangkan masa depan kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata acara yang dijadual bermula pada 9 pagi itu akan dihadiri lebih 1,500 delegasi dari negara anggota ASEAN termasuk Singapura, Kemboja serta beberapa negara lain yang masih dalam proses pengesahan.
“Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, menteri-menteri dari negara anggota ASEAN termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, serta Menteri Buruh ASEAN yang akan mengadakan dialog mengenai masa depan AI di rantau ini,” katanya pada sesi taklimat media AAMS25 di sini hari ini.
Fabian berkata majlis perasmian akan disusuli beberapa pengumuman penting, antaranya pelancaran Dasar Pemikiran Awal Negara berkaitan AI yang akan menjadi dokumen strategik memperkukuh ekosistem AI nasional dan serantau.
Tambah beliau lagi,tiga agenda utama AAMS25 iaitu kenyataan bersama Menteri Digital ASEAN mengenai kerjasama AI serantau; pembangunan Rangka Kerja Prinsip AI ASEAN bagi memastikan teknologi digunakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab; serta usaha memperkukuh ekosistem AI serantau untuk merapatkan jurang ketersediaan teknologi di kalangan negara anggota.
Malaysia juga mengusulkan penubuhan ASEAN AI Safety Institute Network sebagai platform membangunkan standard keselamatan AI dan berkongsi pengetahuan antara negara anggota, sekali gus memastikan teknologi tidak disalah guna.
“Di ASEAN, tahap ketersediaan teknologi AI berbeza-beza. Singapura sudah jauh ke depan manakala negara lain masih di peringkat awal. Matlamat kita adalah merapatkan jurang ini, meningkatkan keselamatan AI, dan memastikan tiada yang tertinggal.
Seperti kata Perdana Menteri, kita mahu democratize AI — memberi akses kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau pendapatan,” katanya.
Selain perbincangan dasar, AAMS25 turut menampilkan sesi dialog menteri dan multilateral mengenai kepercayaan digital, forum ekosistem AI, bengkel teknologi, pameran aplikasi AI, serta pelancaran Polisi Pengkomputeran Awan Nasional pada 13 Ogos.
Polisi tersebut akan menjadi landasan pembangunan infrastruktur cloud nasional, tadbir urus data yang selamat dan pemanfaatan AI dalam sektor awam serta swasta.
Antara tokoh antarabangsa yang akan berucap termasuk David Shrier (Imperial College London), Richard Stirling (Oxford Insights) dan Mark Souza (Microsoft), manakala penceramah tempatan termasuk Khailee Ng (500 Global), Dr. Hariyati Shahrima (IJN) dan Khairul Anwar (Pendeta).
AAMS25 turut disokong rakan strategik YTL selaku penaja utama, Huawei, Telekom Malaysia, Inspur dan VCI Global, serta menampilkan kolaborasi kreatif Prompter Malaysia yang menggabungkan AI dengan seni dan penceritaan digital bagi mempromosikan kepelbagaian budaya ASEAN.