KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha ke arah pembinaan mampan apabila YTL Cement bersama Construction Research Institute of Malaysia (CREAM) melancarkan kilang Agregat Konkrit Guna Semula (RCA) pertama negara di Jalan Chan Sow Lin, hari ini.
Kilang inovatif itu memproses lebihan konkrit dari tapak pembinaan untuk digunakan semula sebagai bahan gantian sehingga 30% bagi agregat semula jadi dalam konkrit baharu sebagai satu langkah penting dalam mengurangkan sisa pembinaan dan pemeliharaan sumber asli.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal, menyifatkan pelancaran itu sebagai pencetus transformasi industri:
“Inisiatif ini selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030), yang menekankan pemuliharaan sumber, pengurangan karbon dan pengoptimuman sisa. Ia juga contoh terbaik kerjasama sektor awam dan swasta dalam mempercepatkan inovasi,” katanya ketika merasmikan kilang tersebut.
Beliau menambah, kilang ini wajar dijadikan penanda aras industri kerana membuka potensi baharu dalam pengurusan lebihan konkrit secara mampan.
Menurut YTL Cement, kira-kira 5% daripada 30 juta meter padu konkrit yang dihasilkan di Malaysia setiap tahun adalah lebihan, satu jumlah signifikan yang sebelum ini dianggap sisa, namun kini boleh ditukar menjadi sumber berguna.
Selain menghasilkan RCA, kilang tersebut turut menghasilkan bahan halus untuk digunakan sebagai asas jalan dan bahan mentah bata, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap kuari dan sumber semula jadi yang baharu.
Pengarah YTL Cement, Datuk Aziyah Mohamed, berkata model kilang ini boleh dikembangkan ke bandar-bandar utama lain bagi menyokong agenda pembinaan rendah karbon.
“Sudah tiba masanya kita mengubah persepsi terhadap lebihan konkrit. Ia bukan lagi sisa, tetapi sumber mampan bernilai ekonomi.”
Kilang ini adalah hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara YTL Cement dan CREAM pada tahun 2023, dengan fokus kepada pembangunan bakat, penyelidikan & pembangunan (R&D), dan kelestarian industri pembinaan.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneruskan penyelidikan bagi memaksimumkan potensi bahan RCA, termasuk penggunaannya dalam pelbagai aplikasi pembinaan masa depan.