GYEONGJU, 31 Okt: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk menjadi negara peneraju kecerdasan buatan (AI) di rantau ini menjelang 2030, hasil kemajuan besar yang dicapai melalui kerjasama strategik antara NVIDIA dan YTL Power International Berhad (YTL Power).
Perdana Menteri menyatakan demikian selepas bertemu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang serta Pengarah Urusan YTL Power, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong di Gyeongju, Korea Selatan, sempena Sidang Kemuncak Ekonomi Pemimpin APEC 2025.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pertemuan itu menandakan kemajuan luar biasa Malaysia dalam landskap Sovereign AI (AI Berdaulat) hanya dalam tempoh 22 bulan selepas pertemuan pertama Anwar dan Jensen Huang di Kuala Lumpur pada Disember 2023.
Antara pencapaian utama yang dibincangkan termasuk:
	•	Pelancaran Pejabat AI Kebangsaan di bawah Kementerian Digital pada Disember tahun lalu.
	•	Pembinaan fasiliti pusat data AI bertaraf dunia YTL Power di Kulai, Johor, yang dibangunkan bersama NVIDIA.
	•	Pelancaran ILMU, model bahasa besar pertama Malaysia, pada Sidang Kemuncak ASEAN AI 2025.
Kemudahan di Kulai itu menggunakan cip terkini NVIDIA Grace Blackwell (GB200) berasaskan sistem penyejukan cecair NVL72, menjadikannya antara pusat data paling canggih di rantau ini, disifatkan sebagai tonggak penting dalam membina AI berdaulat Malaysia.
Selepas pertemuan itu, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk memanfaatkan AI bagi memacu ekonomi digital yang mampan dan inklusif.
“Malaysia menyasarkan untuk menjadi negara peneraju AI menjelang 2030 menggunakan teknologi ini untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh perkhidmatan awam, serta membina ekonomi digital yang selamat dan beretika.
“Pembangunan AI berdaulat amat penting bagi memastikan ekosistem digital negara kekal dipercayai dan terlindung,” katanya.
Anwar turut mengucapkan tahniah kepada NVIDIA dan YTL Power atas pencapaian besar tersebut yang menurutnya, akan mempercepatkan gelombang pembangunan AI demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, Tengku Zafrul mendedahkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sektor AI negara.
“Pelaburan ini membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi inovasi AI dan pusat data berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau menambah bahawa langkah itu seiring Pelan Induk Perindustrian Negara (NIMP) yang memfokuskan kepada penggunaan AI dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan, bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing global.
Dalam kenyataannya, Dato’ Seri Yeoh Seok Hong berkata pembangunan YTL AI Cloud dan pelancaran ILMU membolehkan Malaysia menjadi antara negara pertama di rantau ini memiliki AI berdaulat sepenuhnya.
“Pembangunan awan berdaulat amat penting untuk mengendalikan perkhidmatan AI kerajaan dan rakyat. Dengan YTL AI Cloud kini beroperasi, Malaysia kini memiliki keupayaan sebenar Sovereign AI,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas dasar proaktif yang memacu kemajuan pesat infrastruktur AI negara.










