Malaysia Kecam Kekejaman Di Gaza, Tuduh Kebuluran Dijadikan ‘Senjata Perang’

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan Palestin, dengan menegaskan bahawa kebuluran serta kekurangan bekalan asas kini digunakan sebagai senjata perang terhadap rakyat tidak berdosa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keadaan yang berlaku di Gaza bukan sekadar konflik bersenjata, tetapi penderitaan kemanusiaan yang disengajakan dan perlu dihentikan segera oleh komuniti antarabangsa.

“Malaysia menggesa semua negara, terutama kuasa besar dunia, menggunakan pengaruh mereka dengan berpaksikan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekejaman ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-12 (ADMM-Plus) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia mengalu-alukan Pelan Komprehensif Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan menamatkan konflik berdarah di Gaza, selagi ia berlandaskan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Beliau turut memuji pendekatan dialog yang diambil Kemboja dan Thailand dalam menyelesaikan pertikaian sempadan mereka secara aman, sambil mengiktiraf peranan ASEAN, AS dan China yang menyokong penyelesaian diplomatik di rantau ini.

“Dalam semangat keamanan, marilah kita terus bertindak bersama berpandukan undang-undang, belas kasihan, dan semangat kerjasama demi mencapai keamanan sejagat,” katanya.

Mesyuarat ADMM-Plus kali ke-12 yang dianjurkan Malaysia tahun ini membawa tema “Kesepaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran”, menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dari seluruh Asia Pasifik serta negara rakan luar seperti AS, China, Jepun dan Australia.

Forum itu menjadi platform penting membincangkan isu keselamatan serantau, konflik global serta ancaman baharu termasuk keselamatan siber dan kemanusiaan.

BBerkaitan

Latest articles