KUALA LUMPUR: Gelombang sokongan yang semakin kuat terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dilihat sebagai isyarat jelas daripada akar umbi yang mahu parti kembali memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Terbaru, 19 daripada 22 ketua cabang PKR Selangor menyatakan sokongan terbuka kepada “Puteri Reformasi” itu untuk mengisi jawatan nombor dua dalam parti, dengan alasan perlunya seorang pemimpin kanan yang tidak terikat dengan tanggungjawab pentadbiran kerajaan.
“PKR memerlukan timbalan presiden yang sepenuhnya fokus kepada parti – membina struktur, menggerakkan akar umbi, menyusun strategi, dan membangkitkan semangat anggota,” menurut kenyataan bersama mereka yang mewakili sebahagian besar cabang terpenting di Selangor.
Sokongan itu turut mencerminkan keresahan segelintir pemimpin akar umbi terhadap kedudukan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden tetapi juga terlibat aktif dalam peranan kerajaan.
Bagi mereka, tumpuan yang terpecah antara parti dan kerajaan boleh menjejaskan kesiapsiagaan PKR dalam menghadapi cabaran politik masa depan.
Lebih signifikan, kemunculan Nurul Izzah sebagai calon alternatif bukan semata-mata berlandaskan populariti atau nostalgia politik, tetapi atas pertimbangan strategik – seorang tokoh yang telah lama terbukti dalam pelbagai peranan, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Kita bukan sekadar perlukan nama besar, tetapi seorang yang telah melalui jatuh bangun perjuangan, yang mampu menyatukan barisan dan membawa harapan baru buat anggota serta rakyat,” kata mereka lagi.
Dalam pada itu sokongan kepada Nurul Izzah bukan hanya terhad kepada Selangor, malah beberapa cabang PKR dari Perak, Melaka dan Pahang turut tampil menyatakan pendirian sama, membayangkan bakal wujudnya pertandingan yang lebih terbuka dalam pemilihan 23 Mei nanti.