SHAH ALAM: Seorang lelaki yang digelar ‘ustaz’ dan ditahan polis baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam jenayah rupa-rupanya pernah mempunyai senarai rekod lampau beliau.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendedahkan individu terbabit sebenarnya tidak lagi mempunyai tauliah mengajar agama di negeri ini sejak 2022, selepas kelulusannya ditarik balik.
Menurut Pengerusi MAIS, Senator Datuk Salehuddin Saidin, individu tersebut malah pernah ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama tanpa tauliah, yang melanggar Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Kes ini masih dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah. Malah seorang pentadbir surau turut disiasat kerana dipercayai membenarkan ceramah tanpa tauliah itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, MAIS dan JAIS sentiasa memantau hal ini dengan serius, termasuk mengambil tindakan tatatertib dan undang-undang terhadap mana-mana pihak terlibat.
Tambah Salehuddin, MAIS kesal dengan sikap segelintir individu yang masih berani mengajar walaupun tauliah mereka telah tamat atau ditarik balik, malah terdapat juga penceramah bertauliah yang melanggar syarat dan etika yang ditetapkan.
“Ini bukan soal remeh. Sikap tidak ambil berat pentadbir masjid dan surau dalam memastikan penceramah mempunyai tauliah hanya mengundang persepsi negatif masyarakat dan mencemarkan imej Islam,” ujarnya.
MAIS bimbang keadaan ini boleh membuka ruang kepada penyelewengan dalam pengajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, sekali gus menjejaskan akidah umat.
Dalam perkembangan berkaitan, MAIS mendedahkan sejak 2022, sebanyak 35 individu telah ditarik tauliahnya kerana pelbagai kesalahan termasuk mengajar bertentangan akidah, terlibat jenayah, melanggar syarat tauliah dan memegang jawatan politik.
Beberapa individu lain juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dijalankan.
MAIS menegaskan semua dasar serta keputusan berkaitan tauliah dibuat dengan teliti dan telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri, demi memelihara kepentingan umat Islam di Selangor.
Sehubungan itu, pihak masjid, surau serta seluruh umat Islam diingatkan supaya memastikan hanya penceramah yang mempunyai tauliah sah daripada MAIS atau pengecualian sewajarnya dibenarkan mengajar, bagi mengelak masalah lebih besar pada masa depan.