KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar Bersatu menghantar surat rasmi jika benar-benar serius mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO.
Menurut Ahmad, kenyataan berulang kali oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai keinginan bekerjasama sepatutnya diiringi dengan tindakan rasmi, bukan sekadar dibangkitkan menerusi media.
“Malah mesyuarat MT sebelum ini juga tidak pernah membincangkan mengenai isu ini. Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincangkan di peringkat MT UMNO.
“Jangan asyik bangkitkan perkara ini di media, kerana jika tiada permohonan, bagaimana ia hendak dibincangkan dalam UMNO?” katanya ketika ditemui di Pontian, lapor Utusan Malaysia.
Hamzah baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa Bersatu bersedia bekerjasama dengan UMNO atas dasar mereka berkongsi asas ideologi yang serupa, termasuk dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, yang menyaksikan UMNO mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar meskipun kadar keluar mengundi rendah.
Sementara itu, kenyataan daripada Setiausaha Veteran UMNO, Mustapha Yaakub, yang mencadangkan agar Bersatu dibubarkan dan kembali menyertai UMNO sepenuhnya.
“Bukan bekerjasama dengan UMNO, tetapi bersama dalam UMNO,” tegas beliau, sambil mendedahkan dakwaan bahawa PAS juga telah beberapa kali menghantar wakil menemui Perdana Menteri dalam usaha menyertai Kerajaan Perpaduan.