Lelaki Tengah ‘Lalok’ Hulur Kaki Bawah Lori Ada 19 Rekod Lampau

KAJANG: Polis mengesahkan lelaki yang bertindak berani menghulurkan kaki ke bawah tayar sebuah lori yang sedang membelok di lampu isyarat Jalan Pekan Bangi Lama, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian dilaporkan oleh pemandu lori terbabit sekitar jam 4.48 petang semalam, selepas insiden berlaku kira-kira jam 10.45 pagi.

“Pengadu berusia 33 tahun memaklumkan ketika membelok, dia terlihat seorang lelaki tidak dikenali menghulurkan kaki ke arah tayar belakang sebelah kanan lori.

“Setelah turun memeriksa, beliau mendapati lelaki berkenaan berada di tepi jalan bersama motosikalnya dalam keadaan mencurigakan, dipercayai khayal akibat dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Naazron, pemandu lori terbabit turut mempunyai rakaman dashcam sebagai bukti sekiranya suspek cuba mendakwa dia dilanggar dengan sengaja.

Suspek, 43, kini sedang menerima rawatan di hospital dan masih dalam keadaan khayal. Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai 19 rekod kes berkaitan dadah dan dua kes jenayah lampau.

“Polis akan menahan suspek sebaik sahaja rawatan selesai dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan keselamatan diri dan orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-888 1475 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, rakaman video kejadian tular di media sosial memaparkan tindakan berbahaya lelaki terbabit yang secara sengaja menghulurkan kaki ke bawah tayar lori yang sedang bergerak.

BBerkaitan

Latest articles