KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas tular rakaman video menunjukkan tindakan tidak berperikemanusiaan tiga individu yang mengangkat dan mengganggu seekor penyu yang sedang bertelur di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating, semalam.
Rakaman insiden yang mencetuskan kemarahan ramai itu memaparkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu dan membawanya ke lubang bertelur yang telah digali, dipercayai bagi mempercepatkan proses penyu bertelur untuk mengambil telurnya secara haram.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi dan telah dilaporkan oleh Ketua Pusat Konservasi Penyu Cherating selepas video tersebut tersebar di media sosial.
“Siasatan awal mendapati tindakan suspek bertujuan mendapatkan telur penyu, dipercayai untuk dijual atau digunakan secara tidak sah. Namun selepas ditegur pelancong lain, mereka melepaskan penyu itu kembali ke laut,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Bertindak pantas selepas menerima laporan, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 51 tahun di sekitar Cherating pada jam 1 petang. Dua lagi rakan suspek masih diburu.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang ditahan turut mendapati beliau positif dadah,” tambahnya.
Kes disiasat oleh Jabatan Perikanan Malaysia di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, yang melibatkan kesalahan mengganggu atau mencederakan penyu iaitu sejenis spesies marin dilindungi.
Mohd Adli menegaskan bahawa PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaku yang mengancam keselamatan hidupan marin dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengganggu penyu yang datang ke pantai untuk bertelur dan diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika menyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan.”