Lelaki Positif Dadah Ditahan Ceroboh Rumah Pempengaruh

BATU MAUNG: Seorang lelaki diberkas selepas cuba menceroboh rumah seorang pempengaruh TikTok dikenali sebagai Choii dalam kejadian yang berlaku di Batu Maung, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki rumah tersebut melalui pintu belakang ketika pembantu rumah sedang membuang sampah.

Namun tindakan pantas penghuni rumah berjaya menggagalkan niat suspek.

“Sebaik menyedari kehadiran penghuni rumah, suspek melarikan diri. Tapi dia kemudian berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal.

“Ketika itulah dia berjaya ditahan oleh pengadu dengan bantuan rakan-rakan sebelum diserahkan kepada pasukan polis MPV di Zon 3 Batu Maung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sazalee, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine.

Malah, lelaki berkenaan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok bagi permohonan reman.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Sazalee menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan pintu serta tingkap rumah dikunci setiap masa.

“Kita juga mengingatkan orang ramai untuk memastikan sistem keselamatan rumah seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video kejadian tersebut yang dimuat naik di laman Facebook Amigos Media Viral, menunjukkan kekecohan sewaktu cubaan suspek dikejar dan ditahan oleh penghuni rumah serta rakan-rakannya.

BBerkaitan

Latest articles