Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam SUV, Leher Terjerut Tali Pinggang Keledar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 di atas jejambat pusingan U dari Kepong ke Damansara awal pagi tadi, dengan kesan jerutan pada leher akibat tali pinggang keledar.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian sekitar jam 1.30 pagi daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mengesyaki berlaku kemalangan maut berdasarkan kedudukan mencurigakan kenderaan terbabit.

“Kenderaan itu ditemui di lokasi seperti terbabit dalam kemalangan, namun siasatan awal mendapati tiada impak perlanggaran. Petugas perubatan dari Hospital Selayang yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa pada jam 5.15 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa dikenalpasti sebagai lelaki tempatan berusia 46 tahun, bekerja sebagai tukang kayu.

Pemeriksaan forensik lanjut mendapati leher mangsa terjerut dengan tali pinggang keledar yang masih terpasang.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah atau faktor lain.

BBerkaitan

Latest articles