KLUANG: Tindakan seorang lelaki berbogel di kawasan awam mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman perbuatannya tular dan menggemparkan penduduk setempat.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam di Jalan Mengkibol sebelum video kejadian tersebar luas di media sosial dan mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh memaklumkan, suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun itu berjaya diberkas sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang pada jam 4 petang semalam di kawasan Taman Sunrise Park.
Menurut beliau, tindakan pantas dilakukan sebaik pihak polis menerima maklumat berkaitan video yang tular berkenaan.
“Hasil semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, keputusan ujian saringan air kencing terhadapnya adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Polis kini masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar suspek melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.










