PUTRAJAYA,— Kerajaan menyifatkan pelaksanaan bulan pertama Program Penyasaran Subsidi RON95 atau BUDI95 sebagai satu kejayaan membanggakan, dengan maklum balas positif daripada pengguna dan operasi yang berjalan lancar di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata program itu bukan sahaja memastikan bantuan subsidi terus sampai kepada rakyat yang layak, malah berjaya mengekang ketirisan kepada pihak tidak sepatutnya seperti bukan warganegara dan kegunaan perniagaan.
Melalui BUDI95, rakyat Malaysia menikmati harga RON95 sebanyak RM1.99 seliter, berbanding RM2.05 sebelum ini.
Sebaliknya, bukan warganegara dan syarikat perlu membayar harga tanpa subsidi iaitu RM2.60 seliter katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat Hari ini.
Menurut Anwar, berdasarkan kriteria kelayakan, 16.5 juta rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi bagi 300 liter sebulan.
Sejak dilaksanakan, 13.1 juta pengguna telah melakukan transaksi BUDI95, dengan jumlah penggunaan bahan api bersubsidi bernilai RM2.6 bilion, membabitkan subsidi kerajaan sebanyak RM800 juta .
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, purata penggunaan bahan api bagi penerima BUDI95 pada Oktober ialah 98 liter sebulan, iaitu hanya 33 peratus daripada had maksimum 300 liter.
“Kurang daripada 0.7 peratus penerima menggunakan sepenuhnya kuota mereka sebelum akhir bulan,” katanya.
Tambahnya Kerajaan turut memperluas kelayakan kepada pengguna bot tanpa lesen memandu yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta agensi kerajaan Sabah dan Sarawak.
Setakat 31 Oktober, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar telah diluluskan untuk menerima manfaat BUDI95.
Bagi pemandu e-hailing, Anwar mengumumkan kenaikan had kelayakan daripada 300 liter kepada 600 liter sebulan, dengan 58,000 pemandu dikenal pasti layak.
Selepas meneliti rayuan dan corak penggunaan sebenar, kerajaan bersetuju meningkatkan lagi had kepada 800 liter sebulan tertakluk kepada syarat perjalanan yang ditetapkan.
Selain itu, teksi lapangan terbang kini turut disenaraikan sebagai kenderaan layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 bagi memperkukuh dasar penyasaran subsidi dan memastikan manfaatnya tidak disalahguna.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyeleweng atau menyalahgunakan subsidi RON95,” tegas Perdana Menteri.
Fakta angka
	•	Harga RON95 untuk rakyat: RM1.99/liter
	•	Pengguna layak: 16.5 juta rakyat Malaysia
	•	Subsidi Oktober: RM800 juta
	•	Pengguna bot berdaftar: 24,000 orang
	•	Pemandu e-hailing layak: 58,000 (hingga 800L/bulan)
	•	Teksi lapangan terbang kini layak SKPS










