PUTRAJAYA: Malaysia menegaskan bahawa tiada persetujuan dimuktamadkan setakat ini dengan Indonesia berhubung kemungkinan pembangunan bersama di kawasan Laut Sulawesi, yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi bertindih tuntutan maritim antara kedua-dua negara.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkara tersebut masih di peringkat perbincangan awal, dan sebarang perbincangan akan terus dilaksanakan mengikut kerangka diplomatik sedia ada.
Penjelasan itu dibuat oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sebagai respons kepada pertanyaan Ahli Parlimen mengenai status semasa hubungan Malaysia–Indonesia di kawasan perairan tersebut.
“Malaysia kekal komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, selaras dengan prinsip Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS),” jelas kenyataan Wisma Putra.
Dalam penjelasannya, Mohamad turut merujuk kepada kawasan maritim melibatkan Blok ND6 dan ND7, yang diklasifikasikan dalam Peta Baru Malaysia 1979 sebagai sebahagian daripada Laut Sulawesi, dan bukan “Ambalat” seperti disebut oleh Indonesia.
“Penggunaan istilah yang tepat adalah penting untuk mencerminkan hak dan kedaulatan Malaysia ke atas kawasan tersebut,” tegas beliau.
Kementerian turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Negeri Sabah, bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam sebarang rundingan atau keputusan berkaitan.
Malaysia juga menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 yang menyerahkan kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia mengukuhkan lagi tuntutan dan hak negara terhadap kawasan maritim berhampiran, termasuk Laut Sulawesi.
kini, sebarang rundingan mengenai kawasan tersebut akan terus dijalankan secara berhemah dan berpandukan kepada prinsip undang-undang antarabangsa dan diplomasi dua hala.