Lagi Kes Tetak, Gara-gara Pintu Bilik Air Diketuk, Lelaki Parah Diserang Adik

LUMUT: Seorang lelaki cedera parah selepas dipercayai ditetak oleh adik kandungnya sendiri dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Ayer Rawat, Sitiawan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 1.30 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Mangsa berusia 56 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Seri Manjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati, pergaduhan antara dua beradik itu berpunca daripada tindakan mangsa yang menendang pintu bilik air ketika anak perempuan suspek masih berada di dalamnya, menyebabkan suspek berang dan bertindak agresif.

Polis kemudian menahan seorang lelaki serta merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, atau Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-688 6222 / WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles