Kubur Zara Qairina Selesai Digali Semula Untuk Bedah Siasat Kedua

SIPITANG: Proses menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, selesai pada jam 7.38 malam tadi.

Van jenazah yang tiba di lokasi pada 6.30 petang dilihat meninggalkan kawasan perkuburan kira-kira sejam kemudian, diiringi tiga kenderaan polis.

Jenazah dibawa ke Hospital Sipitang sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, bagi menjalani proses bedah siasat kali kedua.

Pasukan peguam yang mewakili ibu mangsa, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, tiba di lokasi pada 5.25 petang bersama Majistret, dua pendakwa raya, wakil Jabatan Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), serta pegawai forensik Hospital Queen Elizabeth I.

Menurut maklumat, proses penggalian semula ini dilaksanakan atas arahan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung punca kematian Zara Qairina dijalankan.

Pada 16 Julai lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar itu ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah kira-kira jam 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I.

Polis sebelum ini memaklumkan tidak menolak kemungkinan insiden itu mempunyai kaitan dengan unsur buli.

BBerkaitan

Latest articles