KPT Tidak Akan Lindungi Sesiapa Jika Wujud Salah Laku, Kecuaian Dalam Kes Kematian Penutut UTM

SEMENYIH — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya siasatan mendapati wujud unsur salah laku atau kecuaian berhubung kematian penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihak KPT dan UTM akan memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Penyiasatan Khas yang ditubuhkan Kementerian Pertahanan, dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan, bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, di kediaman keluarga di Taman Pelangi, Semenyih, hari ini. Turut hadir, ADUN Dusun Tua Datuk Wira Johan Abdul Aziz dan peguam keluarga, Datuk Naran Singh.

Menurut Zambry, pihak UTM telah diarahkan menyediakan bantuan psikologi kepada keluarga Allahyarham sebagai sokongan moral dan emosi. KPT juga menyampaikan sumbangan melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi meringankan beban keluarga.

“Tiada usaha melindungi sesiapa jika terbukti ada salah laku atau kecuaian. Siasatan ini perlu dilakukan secara telus, menyeluruh, dan berintegriti demi keadilan kepada Allahyarham dan keluarganya,” katanya.

Syamsul Haris, 22, pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Peperangan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Allahyarham, penuntut Semester Dua Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM, menyertai latihan Palapes sejak 26 Julai dan dijadual tamat pada 3 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles