KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan semua pegawainya yang dikaitkan dengan kegiatan songsang dalam serbuan pusat spa di ibu negara baru-baru ini telah dikeluarkan daripada semua institusi pendidikan sehingga siasatan selesai.
Dalam kenyataan rasmi, KPM menzahirkan rasa kesal dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap perlakuan tidak bermoral yang mencemar imej perkhidmatan awam.
“KPM mengambil serius pelibatan beberapa pegawai dalam aktiviti songsang seperti dilaporkan. Siasatan dalaman sedang berjalan,” kata kementerian itu sambil mengingatkan semua ketua jabatan supaya meningkatkan pemantauan dan memastikan budaya kerja sihat dipertahankan di semua peringkat.
Insiden itu tercetus selepas 201 individu, termasuk 17 penjawat awam berusia antara 19 hingga 60 tahun, ditahan dalam operasi besar-besaran oleh Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Serbuan selama dua minggu risikan itu turut melibatkan DBKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar, premis terbabit dipercayai beroperasi setiap hari sejak lapan bulan lalu dan mempromosikan aktiviti tidak bermoralnya melalui media sosial.
Tindakan tegas akan diteruskan bagi membanteras pusat yang menyalahgunakan lesen untuk kegiatan terlarang.










