Konflik Asia Barat: Malaysia Terima Tempias, Kerajaan Belanja RM4 Bil Sebulan Tahan Kenaikan Minyak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui konflik Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran kini memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Menurut beliau, gangguan rantaian bekalan terutama sektor tenaga dijangka berpanjangan, namun Malaysia masih mampu bertahan berikutan kedudukan ekonomi yang relatif stabil.

Katanya, harga RON95 kekal pada RM1.99 walaupun berlaku lonjakan harga minyak dunia, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Bagaimanapun, Anwar mengingatkan rakyat agar tidak leka kerana situasi semasa masih mencabar dan jauh daripada normal.

Kerajaan, katanya, telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara serta melaksanakan pelbagai langkah termasuk mengawal penggunaan bahan api dan memastikan bekalan tenaga mencukupi.

Beliau turut memaklumkan PETRONAS berjaya menjamin bekalan minyak dan gas sekurang-kurangnya sehingga Mei ini, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada negara.

Dalam masa sama, kerajaan kini menanggung subsidi sekitar RM4 bilion sebulan bagi menyerap kesan kenaikan harga minyak global, namun mengakui kemampuan itu terhad.

Sehubungan itu, semua pihak termasuk peniaga, nelayan dan petani digesa menyalurkan cadangan kepada kerajaan bagi menangani krisis berkenaan.

Anwar turut menyeru rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak berbelanja secara berlebihan, sambil menegaskan usaha mempelbagaikan sumber import minyak dan gas sedang dipergiat bagi menjamin keselamatan tenaga negara.

BBerkaitan

Latest articles