KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjanji akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan seorang bayi perempuan berusia 22 bulan yang mengalami sawan selepas didakwa tidak menerima rawatan segera di Hospital Melaka meskipun telah menunggu hampir 11 jam.
Dalam satu kenyataan rasmi malam tadi, KKM menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden tersebut dan akan mengenal pasti punca sebenar kelewatan selain mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan kejadian seumpamanya daripada berulang.
Menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, pesakit mendaftar masuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada jam 4.07 petang, Sabtu, 10 Mei 2025, selepas mengalami demam selama dua hari.
Bayi terbabit menerima rawatan awal dan pada ketika itu berada dalam keadaan stabil dengan suhu badan 37.7°C.
Kemasukan ke wad telah dirancang, namun ditangguhkan akibat kesesakan dan jumlah pesakit yang tinggi.
“Pesakit mengalami sawan ketika sedang menunggu untuk dimasukkan ke wad, tetapi berjaya distabilkan selepas diberi rawatan kecemasan,” jelas kenyataan itu lagi.
Kanak-kanak tersebut akhirnya dimasukkan ke wad pada jam 1.40 pagi, Ahad, 11 Mei, dan dibenarkan pulang dua hari kemudian pada jam 5.00 petang, Isnin, 12 Mei.
Insiden tersebut mula mencetuskan kemarahan warganet selepas ia tular di media sosial dan dilaporkan oleh sebuah portal yang memetik dakwaan ibu bapa bayi bahawa pihak hospital telah “menyidai” anak mereka meskipun menunjukkan gejala serius.
KKM memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya terhadap insiden ini, malah terhadap proses triage, pengurusan pesakit, serta kapasiti katil di Jabatan Kecemasan.
“KKM akan mengambil langkah-langkah penambahbaikan sewajarnya bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan sentiasa berada pada tahap terbaik,” tambah kenyataan itu.