KUALA LUMPUR: Kehadiran Khairy Jamaluddin di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pagi tadi mencuri tumpuan apabila Presiden UMNO mengesahkan bekas menteri itu terlebih dahulu mendapatkan restu daripadanya sebelum melangkah masuk ke dewan persidangan.
Presiden UMNO berkata, Khairy hadir atas jemputan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dan permintaan restu itu dibuat dalam pertemuan tidak rasmi malam sebelumnya.
“Kebetulan kami bertemu malam tadi semasa Majlis Tahlil Almarhum Tun Razak. Ketika itu beliau meminta izin untuk hadir dan saya bersetuju,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara dan Majlis Pelancaran Logo Baharu Kelab UMNO Luar Negara, hari ini.
Ditanya sama ada kemunculan itu menjadi isyarat Khairy akan kembali menyertai UMNO, Presiden parti itu tidak menutup pintu, namun menegaskan semuanya bergantung kepada proses rasmi.
“Soal kembali atau tidak, ia bergantung kepada permohonan yang akan kita terima,” katanya.
Untuk rekod, kemunculan Khairy hari ini adalah yang pertama di acara rasmi UMNO sejak beliau dipecat pada Januari 2023.
Bekas Menteri Kesihatan itu disingkirkan daripada parti selepas lantang mengkritik kepimpinan tertinggi UMNO ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun selepas pemecatan itu, Khairy beberapa kali menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti lain atas dasar kesetiaannya kepada UMNO.
Sejak Oktober tahun lalu, desas-desus mengenai kemungkinan bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan kembali ke pangkuan UMNO semakin kuat diperkatakan.










