Khir Toyo Sertai Bersatu?

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, didakwa telah menyertai Bersatu, menurut pendedahan oleh seorang pemimpin kanan parti itu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Bersatu Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, menerusi satu hantaran di Facebook yang turut memaparkan gambar beliau dan Khir sedang menikmati makan tengah hari bersama beberapa individu lain.

“Khir baharu saja menganggotai Bersatu dan berhasrat untuk berkongsi serta bertukar fikiran dengan pemimpin kanan demi memperkasakan keberkesanan jentera pilihan raya Bersatu dalam menghadapi PRU,” kata Rahim dalam hantaran tersebut seperti yang dilaporkan FMT.

Setakat ini, tidak diketahui bila Dr Khir menyertai Bersatu, punca keputusan tersebut dibuat, dan sama ada beliau telah melepaskan keahliannya dalam UMNO, parti yang pernah menaikkan beliau ke jawatan tertinggi negeri Selangor.

Dr Khir, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang selama tiga penggal, menjadi Menteri Besar Selangor dari 2000 hingga 2008.

Namun karier politiknya terjejas apabila beliau dihukum penjara setahun pada 2015 selepas didapati bersalah atas kesalahan salah guna kuasa.

Beliau dibebaskan dengan parol selepas enam bulan menjalani hukuman.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khir mengumumkan niat untuk kembali ke gelanggang politik dengan menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, Barisan Nasional (BN) ketika itu mencalonkan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal akhirnya tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles