KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini mengeluarkan amaran terhadap sebarang budaya hedonisme dan perlakuan tidak bermoral dalam kem-kem tentera, menegaskan mereka yang terbabit akan dihukum dan disingkirkan daripada perkhidmatan.
Beliau menegaskan, tiada wanita boleh dijadikan objek seks atau hiburan di mess pegawai atau Wisma Perwira.
“Panggillah apa sahaja, ‘yeye’, ‘yaya’ atau lain-lain, ia tetap keji dan bercanggah dengan nilai Islam,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira.
Mohamed Khaled menambah bahawa Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dibentuk untuk membendung segala unsur mungkar dalam kalangan anggota.
Semua aktiviti sosial di kem tertakluk kepada peraturan ketat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM.
Beliau juga mengingatkan bahawa disiplin ketenteraan adalah keutamaan, dan masa bekerja adalah untuk tugasan rasmi, bukan bermain golf atau bersosial di kedai kopi.
“Segala pandangan di media sosial mesti memaparkan etika sebagai anggota pertahanan negara,” tegasnya.
Katanya lagi, amaran tersebut bukan sekadar kata-kata kosong.
Semua anggota yang merosakkan imej mulia ATM akan dikenakan tindakan tegas seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Masa bekerja adalah masa untuk membangun dan berkhidmat. Kembalilah kepada sikap pahlawan budiman,” ujarnya.










