Keterangan Dua Anak Pamela Akan Dirakam Dalam Waktu Terdekat

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan dua anak kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes kehilangan misteri wanita berprofil tinggi itu sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, memaklumkan bahawa hasil semakan mendapati wanita berkenaan mempunyai dua orang anak yang kini berada di Singapura.

“Proses rakaman keterangan terhadap dua anak wanita berkenaan akan dijalankan dalam masa terdekat dan ia adalah sebahagian daripada usaha melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, Rusdi tidak mendedahkan identiti, umur atau jantina kedua-dua anak tersebut atas faktor siasatan.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata polis masih menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk kemungkinan suami Pamela turut berada dalam senarai suspek, namun enggan mengesahkan perkara itu buat masa ini.

Kes kehilangan Pamela yang dilaporkan sejak sebulan lalu mencetuskan perhatian ramai memandangkan latar belakang sosial dan kedudukan wanita itu dalam kalangan korporat dan sosialit.

Setakat ini, 27 individu telah dipanggil dan dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan, yang dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) serta agensi penguat kuasa di Singapura bagi melancarkan proses siasatan yang merentasi sempadan.

Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles