KUALA TERENGGANU: Pemuda Umno Terengganu hari ini menegaskan pihaknya bersedia dengan apa juga tindakan berhubung penyiaran satu grafik di laman rasmi sayap itu yang memaparkan imej Jalur Gemilang dengan reka bentuk salah.
Menerusi satu kenyataan permohonan maaf, Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera menjelaskan kesilapan tersebut berpunca daripada kekhilafan seorang pereka grafik sambilan dan tidak disengajakan.
“Apa-apapun saya tidak membela beliau walaupun khidmatnya diberikan secara percuma. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan.
“Pemuda Umno Terengganu mengambil sikap tidak berkompromi dengan kesilapan ini,” katanya menerusi video di Facebook.
Sebelum itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa menyiasat ahlinya yang terlibat dalam kesilapan tersebut.
Beliau turut meminta laporan polis dibuat dan tindakan tegas diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.
Desakan itu dibuat selepas Pemuda Umno Terengganu sebelum ini memuat naik grafik mengecam insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di Sabah yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Terdahulu grafik berkenaan memaparkan Jalur Gemilang bersama gambar hitam putih Zara Qairina.
Namun, pengguna media sosial segera menyedari bendera tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti sepatutnya.
Kesilapan itu kemudian diperbetulkan apabila grafik asal dipadamkan pada 12.55 tengah hari sebelum digantikan dengan versi baharu yang memaparkan jalur bendera dengan betul.