KUALA LUMPUR: Kes tembakan yang mengorbankan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Jabatan Peguam Negara memaklumkan pihaknya telah menerima laporan serta taklimat terperinci daripada polis dan bersetuju dengan pengklasifikasian baharu tersebut.
Menurut kenyataan itu, penelitian awal mendapati masih terdapat beberapa tindakan susulan yang perlu dilaksanakan oleh pihak polis bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Peguam Negara menegaskan keperluan siasatan yang menyeluruh dan berasaskan fakta bagi memastikan ketelusan serta keadilan terpelihara.
Sebelum ini, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menyerang anggota polis menggunakan parang dalam satu operasi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada 24 November lalu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan peguam yang mewakili keluarga tiga individu terbabit, Rajesh Nagarajan, memohon agar direhatkan sementara.
Menurutnya, kenyataan awam yang dibuat berhubung kes itu menimbulkan kekeliruan, memandangkan siasatan telah diambil alih oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sekali gus membangkitkan kebimbangan terhadap persepsi berkecuali.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menegaskan bahawa siasatan berhubung insiden berkenaan mesti dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.










