Kes Revenue Group: Saksi Akui Kenderaan Dibeli Sebagai Hadiah kepada RGB

KUALA LUMPUR : Saksi, Fong Poh Kiong, mengaku bahawa kereta Toyota Vellfire nombor pendaftaran BPR 3108 yang dibeli oleh CIMB Bank adalah bertujuan sebagai hadiah kepada Revenue Group Berhad (RGB) dan menafikan ia berkaitan dengan Revenue Harvest Sdn Bhd.

Fong, seorang Pengurus Besar di Laser Motor Sdn Bhd, memberitahu mahkamah bahawa salah satu kenderaan itu didaftarkan di atas nama Ng Shih Fang dan urusan pendaftaran itu dilakukan oleh seorang kakitangan syarikat di bawah seliaannya.

Bagaimanapun, saksi ketika ditanya oleh peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mengakui beliau tidak dapat memastikan kemungkinan kakitangan terbabit menggunakan khidmat “runner” dalam urusan pendaftaran itu.

Fong, selain itu, di dalam keterangannya mengakui nombor pendaftaran BPR 3108 untuk didaftarkan kepada salah satu dari lima kenderaan yang dibeli oleh CIMB Bank adalah diuruskan sendiri oleh tertuduh iaitu Shih Fang.

Dia memberitahu bahawa Shih Fang sendiri memberi kepadanya nombor pendaftaran itu untuk digunakan kepada Toyota Vellfire yang didaftarkan ke atas namanya.

Mengikut pertuduhan, Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang dituduh melakukan kesalahan bersama-sama pada 3 Oktober 2018 di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lot 14264, Jalan Genting Kelang, Setapak, dalam negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi mencapai niat bersama, telah dengan curangnya menyebabkan Lee Pei Yee iaitu pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan suatu harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire nombor pendaftaran BPR 3108 milik syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat Revenue Group Berhad dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Shih Fang.

BBerkaitan

Latest articles