BUKIT MERTAJAM: Pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah Juru pada 18 Okt didapati bermotifkan dendam, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail.
Beliau yang enggan mendedahkan lebih lanjut berkata dapatan itu susulan penahanan suspek utama iaitu lelaki Nepal berusia 35 tahun di Selangor pada 24 Okt semasa melarikan diri daripada pihak berkuasa.
“Reman terhadap suspek utama akan tamat esok dan polis akan memohon perintah itu disambung bagi melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Azizee berkata dua lagi lelaki Nepal termasuk abang kepada suspek utama akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman tamat hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Sariya Che Hin, 51, ditemukan maut di dapur manakala Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, di tingkat atas rumah sewa mereka.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun dan tiga lelaki Nepal bagi membantu siasatan.- BERNAMA










