KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menggesa orang ramai agar bersabar sementara menunggu keputusan laporan perubatan berhubung kes anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dilaporkan diserang baru-baru ini.
Beliau menegaskan, siasatan dan proses rawatan sedang berjalan dan memerlukan masa untuk mendapatkan hasil yang menyeluruh serta adil.
“Perkara ini memerlukan tempoh tertentu bagi memastikan siasatan dan rawatan dapat dilaksanakan dengan teratur. Kita perlu beri ruang agar ia berjalan atas landasan sewajarnya.
“Kita bersabar sedikit untuk menunggu dapatan akhir yang, saya yakin, akan dapat mengadili isu ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman hari ini.
Insiden yang berlaku pada 13 Ogos lalu menarik perhatian ramai apabila anak Rafizi didakwa diserang di kawasan menurunkan penumpang di sebuah pusat beli-belah di ibu negara sekitar jam 2 petang.
Menurut Rafizi, dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dikatakan terbabit dalam serangan itu. Seorang daripada mereka didakwa mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu dipercayai jarum suntikan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, sebelum ini memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada 19 individu termasuk ahli keluarga, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Polis kini masih menunggu laporan kimia daripada hospital berhubung jenis cecair yang dipercayai disuntik kepada mangsa.