KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes seorang lelaki yang didakwa memuat naik foto memijak al-Quran di media sosial akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
Langkah itu dibuat selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan secara menyeluruh dan profesional, selain memberi jaminan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian negara.
“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta sensitiviti agama,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan telah direman bermula 25 Februari hingga 28 Februari bagi membantu siasatan berhubung penularan foto tersebut.
Tempoh tahanan reman kemudian disambung selama tiga hari lagi, bermula 1 Mac hingga 3 Mac, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setakat ini, polis menerima 62 laporan dari seluruh negara berhubung isu tersebut, manakala 43 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan mencetuskan perhatian meluas dalam kalangan masyarakat, susulan sensitiviti tinggi melibatkan isu agama dan keharmonian antara kaum di negara ini.










