Kerajaan Tanggung Pampasan RM568 Juta Untuk Elak Kenaikan Tol 10 Lebuh Raya

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung kos sehingga RM568.92 juta bagi menampung penangguhan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara pada tahun 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jumlah tersebut adalah anggaran purata berdasarkan trend terdahulu, namun angka sebenar tertakluk kepada pengesahan audit operasi oleh pihak kerajaan dan syarikat konsesi.

“Anggaran RM568.92 juta adalah purata berdasarkan data terdahulu. Jumlah sebenar akan ditentukan selepas pengauditan selesai,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan) yang bertanyakan tentang implikasi kewangan dan jumlah pengguna yang mendapat manfaat daripada pelaksanaan penangguhan kenaikan tol.

Senarai lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan kenaikan kadar tol bagi tahun 2025 adalah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NKSE), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Menurut Alexander, penangguhan ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada lebih 941,000 pengguna lebuh raya setiap hari.

“Hampir sejuta rakyat akan menikmati faedah ini, terutama pengguna harian yang bergantung kepada rangkaian lebuh raya berkenaan untuk urusan kerja dan perniagaan,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles