Kerajaan Saman Telegram, Saluran Edisi Siasat, Edisi Khas

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi telah memfailkan tindakan undang-undang sivil terhadap platform media sosial Telegram, termasuk pentadbir saluran popular Edisi Siasat dan Edisi Khas, susulan penyebaran kandungan yang didapati melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata langkah itu membawa kepada perintah sementara mahkamah yang mengarahkan penurunan kandungan serta penutupan saluran terbabit.

“Pada masa ini, tindakan undang-undang terhadap Telegram serta pentadbir saluran berkenaan masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) yang meminta jaminan kerajaan agar tindakan itu tidak menyekat kebebasan bersuara, terutama berkaitan isu ketelusan dan antirasuah.

Fahmi menegaskan bahawa kerajaan tidak menyekat suara rakyat, termasuk mereka yang mengkritik atau membawa isu berkaitan integriti, asalkan ia disampaikan secara bertanggungjawab dan tidak melanggar undang-undang negara.

“Rakyat bebas memaparkan kandungan berkaitan ketelusan dan antirasuah di mana-mana platform media sosial, tetapi ia mestilah tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Platform juga bertanggungjawab memastikan kandungan yang disiarkan tidak melanggar peraturan sedia ada,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan tertakluk kepada perundangan.

Saluran seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas sering menarik perhatian ramai kerana kandungan mereka yang bersifat pendedahan dan kontroversi, namun turut dikritik kerana tidak menapis fakta atau menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan.

BBerkaitan

Latest articles