KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada sebarang usaha untuk menutup atau melengahkan siasatan polis berhubung kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun terdapat beberapa ketidakpatuhan prosedur dalam siasatan awal, ia sama sekali tidak menjejaskan integriti keseluruhan siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menolak dakwaan kononnya kes berkenaan mempunyai kaitan dengan individu kenamaan, termasuk cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau pengetua sekolah yang dikatakan isteri seorang menteri.
“Siasatan ini dibuat secara menyeluruh dan teliti. Sejak isu ini dibangkitkan di Parlimen pada 30 Julai lalu, pelbagai dakwaan tular termasuk kononnya pelaku adalah cucu TYT, pengetua isteri menteri dan ada yang kata mangsa maut akibat didera dalam mesin basuh. Semua itu tidak benar,” katanya ketika membahaskan usul siasatan kes Zara Qairina di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin menjelaskan, hasil siasatan pasukan khas PDRM melibatkan keterangan daripada 195 saksi, terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, ibu bapa dan pihak berkaitan lain.
Beliau menegaskan, dapatan siasatan tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan kematian Zara Qairina berpunca daripada penderaan dalam mesin basuh seperti didakwa.
Kerajaan, katanya, komited memastikan proses siasatan dan prosiding inkues yang akan berlangsung berjalan dengan telus serta bebas daripada sebarang campur tangan.