Kerajaan Komited Laksana Agenda Reformasi, Namun Tak Boleh Terburu-buru

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad melaksanakan reformasi institusi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perubahan tersebut tidak boleh dilakukan secara mendadak bagi mengelakkan kegagalan, seperti yang berlaku di beberapa negara lain.

“Apa beza kita dengan kerajaan terdahulu? Kita tegas dengan reformasi, tetapi ada yang takut ia boleh merugikan. Namun, bagi penyokong reformasi, mereka mungkin kurang sabar untuk melihat perubahan segera,” katanya dalam ucapan di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam semalam.

Menurut Anwar, sejarah telah membuktikan bahawa reformasi yang dilakukan secara tergesa-gesa sering berakhir dengan kegagalan, seperti yang berlaku di Poland dan Czechoslovakia.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa usaha pindaan terhadap Perlembagaan memerlukan sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen, termasuk majoriti dua pertiga serta persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Kita komited untuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun. Saya, PKR dan PH telah bersetuju, tetapi kita tetap memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau menambah bahawa sepanjang dua tahun pentadbiran, kerajaan telah melakukan pelbagai perubahan termasuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memperkukuh sistem pentadbiran negara.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan badan kehakiman, selaras dengan prinsip pemisahan kuasa.

“Kita tidak akan mengganggu keputusan badan kehakiman, tetapi kita juga bertanggungjawab memastikan pelantikan dibuat ke atas individu yang berwibawa, bebas, dan tidak terjerumus dengan kepentingan peribadi seperti perniagaan dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas resolusi Majlis Peguam yang menolak sebarang campur tangan eksekutif dalam pelantikan kehakiman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Anwar menegaskan bahawa pengawasan badan kehakiman harus dilakukan oleh badan bebas bagi menjamin sistem semak dan imbang yang berkesan.

“Sehingga kini, kerajaan tidak pernah mencampuri mana-mana kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, termasuk yang melibatkan individu berprofil tinggi,” katanya. — BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles