Kerajaan Jamin Stok Beras Cukup, Beli Ikut Keperluan Sahaja

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta agar tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan beras secara berlebihan susulan jaminan kerajaan bahawa bekalan makanan ruji itu mencukupi sehingga hujung tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan kestabilan pasaran hanya dapat dikekalkan sekiranya pengguna terus berbelanja secara normal berdasarkan keperluan harian.

Menurut beliau, tindakan membeli secara berlebihan bukan sahaja tidak perlu, malah berisiko menjejaskan bekalan sedia ada.

Beliau memberi contoh pengguna yang kebiasaannya membeli satu kampit beras 10 kilogram setiap bulan tidak seharusnya menggandakan pembelian secara mendadak.

Katanya, situasi pembelian panik boleh menyebabkan stok yang sepatutnya bertahan lebih lama habis dalam tempoh singkat, sekali gus membuka ruang kepada kenaikan harga.

“Jika bekalan berkurang akibat pembelian berlebihan, harga akan meningkat dan golongan berpendapatan rendah paling terkesan. Jadi, penting untuk semua kekal tenang dan berbelanja secara berhemah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa sistem stok penimbal beras negara berada dalam keadaan stabil dan sentiasa dipantau.

Setiap pengeluaran stok, katanya, akan digantikan semula dalam tempoh terdekat bagi memastikan bekalan kekal mencukupi di pasaran.

“Sebagai contoh, jika 1,000 tan metrik beras dikeluarkan hari ini, jumlah sama akan diganti semula dalam masa terdekat. Sistem ini direka untuk memastikan rantaian bekalan sentiasa terjamin,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai digesa memainkan peranan dengan membeli secara bijak dan tidak menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.

Kerjasama semua pihak, menurut beliau, amat penting bagi memastikan bekalan beras kekal stabil dan dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

BBerkaitan

Latest articles