Keputusan Rayuan Peguam Negara Berkenaan Isu Titah Adendum Pada 13 Ogos

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada 13 Ogos ini sama ada rayuan Peguam Negara untuk menghalang semakan kehakiman oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung titah adendum akan dibenarkan atau tidak.

Tarikh keputusan itu disahkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, kepada media hari ini.

Rayuan tersebut bertujuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membenarkan semakan kehakiman Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Jika rayuan itu diterima, maka usaha Najib untuk memaksa kerajaan mengemukakan dan melaksanakan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah akan terbantut.

Isu utama dalam semakan kehakiman ini berkisar pada dakwaan Najib bahawa wujud titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membenarkan beliau menjalani baki tempoh hukuman penjara di rumah dan bukan di penjara.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang, selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam prosiding pada 2 Julai lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berhujah bahawa Najib dan anaknya, Mohamad Nizar, gagal mengemukakan bukti munasabah mengenai kewujudan titah tersebut ketika di peringkat permohonan Mahkamah Tinggi.

Beliau menyatakan bahawa Nizar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang berpeluang untuk mendapatkan dokumen itu kerana kerap menghadiri pertemuan bersama Sultan Pahang.

Sebaliknya, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika berhujah di Mahkamah Persekutuan pada 9 Julai lalu, mendakwa bahawa Peguam Negara sepatutnya lebih telus dari awal dan tidak menyembunyikan fakta kewujudan titah adendum tersebut.

Menurut beliau, AG telah mengabaikan prinsip “duty of candour” iaitu kewajipan untuk bersikap jujur, telus dan terbuka dalam prosiding semakan kehakiman, termasuk berkongsi dokumen yang relevan kepada mahkamah.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Prosiding berakhir pada 9 Julai lalu dengan keputusan ditangguhkan kepada satu tarikh lain yang ditetapkan pada 13 Ogos.

BBerkaitan

Latest articles