KUALA LUMPUR, — Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung titah addendum membawa implikasi perlembagaan yang besar, khususnya terhadap kedudukan dan kuasa institusi Raja-Raja Melayu, kata peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican.
Beliau berkata demikian kepada media di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah menolak kesemua hujahan yang dikemukakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib, termasuk permohonan perintah mandamus bagi memaksa badan-badan kerajaan melaksanakan titah addendum berkenaan.
“Secara ringkasnya, semua poin yang dibawa pihak pemohon telah diputuskan tidak memihak kepada Datuk Seri Najib, atas semua isu,” katanya.
Menurut Hasnal Rezua, antara implikasi paling signifikan keputusan itu ialah dapatan mahkamah bahawa titah addendum yang dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Pahang, adalah tidak sah.
“Ini adalah kali pertama, setakat ingatan saya, mahkamah memakaikan dirinya dengan bidang kuasa untuk memutuskan bahawa suatu titah Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sah. Sebelum ini, tidak pernah ada titah Raja dibawa ke mahkamah dan diputuskan sedemikian,” katanya.
Hasnal yang juga seorang pengamal undang-undang turut menyatakan kebimbangan terhadap dapatan mahkamah bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung pengampunan dan kelegaan hukuman adalah tertakluk kepada prosedur tertentu.
“Perlembagaan tidak menetapkan secara terperinci prosedur undang-undang bagi pelaksanaan kuasa pengampunan. Ia hanya menetapkan rukun dan prinsip, bukan prosedur yang rigid. Namun hari ini mahkamah memutuskan sebaliknya, dan ini bagi saya tidak bertepatan dengan peruntukan sedia ada,” katanya.
Hasnal Rezua berkata mahkamah juga memutuskan bahawa titah addendum tersebut adalah suatu bentuk pengampunan dan bukannya kelegaan hukum, sekali gus menjadikannya tertakluk sepenuhnya kepada Perkara 42 Perlembagaan.
Beliau menjelaskan hujahan pihak pemohon sebelum ini adalah bahawa kelegaan hukum, termasuk pelaksanaan baki hukuman melalui pemenjaraan di rumah, tidak tertakluk kepada nasihat Peguam Negara dan Lembaga Pengampunan, yang menurutnya hanya terpakai bagi pengampunan.
“Ini antara isu utama yang dipertikaikan dan berpotensi membawa kesan jangka panjang terhadap tafsiran kuasa Raja-Raja Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan serta-merta terhadap keputusan berkenaan, yang seterusnya akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam pada itu, Hasnal Rezua berpandangan isu berkenaan wajar diberi perhatian serius kerana ia bukan sekadar melibatkan seorang individu, sebaliknya menyentuh aspek keperlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Pada hemat saya, sudah tiba masanya UMNO mempelopori usaha membawa memorandum atau petisyen kepada Majlis Raja-Raja untuk mengkaji implikasi keputusan ini, khususnya sama ada mahkamah boleh memutuskan kesahihan sesuatu titah Raja,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah sedemikian penting bagi memastikan kuasa dan institusi Raja-Raja Melayu terus dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bukan isu Datuk Seri Najib semata-mata, tetapi isu berkaitan institusi Raja-Raja Melayu dan asas perlembagaan negara,” katanya.










