Kuala Lumpur : Kementerian Komunikasi menzahirkan komitmen penuh dan menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar usaha membendung budaya buli diperkukuh di semua peringkat masyarakat, khususnya bermula dari sekolah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap emosi dan mental mangsa, malah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
“Sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kementerian Komunikasi akan melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh melalui televisyen, radio, media sosial dan platform digital.
“Selain itu, kementerian bersama agensi lain juga akan melaksanakan tindakan susulan rentas kementerian supaya mesej antibuli dapat disampaikan dengan lebih bersepadu kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan berkata, kementerian turut akan mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan serta program masyarakat agar mesej itu sampai kepada segenap lapisan rakyat.
Katanya lagi, langkah tersebut seiring dengan komitmen Kerajaan MADANI menerusi pindaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menzahirkan kesungguhan kerajaan mengekang isu buli dengan lebih tegas.
“Kementerian juga akan memastikan mesej antibuli disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami kanak-kanak dan remaja, sesuai dengan hasrat Seri Paduka Baginda agar generasi muda memahami erti hormat-menghormati dan mengamalkan nilai murni sejak kecil,” jelasnya.
Fahmi turut menyeru semua pihak – termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan media untuk bersama-sama berganding bahu membanteras gejala buli.
“Hanya melalui kesepakatan menyeluruh kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” katanya.