KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kematian tragis pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara (AGC) esok untuk arahan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu diambil selepas pasukan khas Bukit Aman menyelesaikan siasatan tambahan yang diarahkan sebelum ini.
“PDRM mengesahkan bahawa kertas siasatan kes Zara Qairina akan dirujuk semula ke AGC pada 18 Ogos untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut. Ia dibuat selepas pasukan khas selesai melaksanakan siasatan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kumar, setakat ini polis telah merakam keterangan 195 saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Saksi terbabit meliputi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden asrama, pengawal keselamatan, ibu bapa serta individu lain yang relevan dengan kes.
Beliau berkata, siasatan memfokuskan kepada dua elemen utama iaitu prosiding inkues dan kemungkinan wujud perlakuan jenayah lain termasuk buli serta penyebaran berita palsu.
Sementara itu, Mahkamah Majistret menetapkan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina akan bermula pagi esok.
Peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan beliau telah dimaklumkan mengenainya oleh AGC.
Terdahulu, AGC memutuskan inkues perlu diadakan selepas meneliti laporan siasatan penuh yang dikemukakan polis.
Dalam pada itu, Kumar menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan atau menjejaskan proses siasatan.
“PDRM memberi jaminan bahawa semua siasatan dilakukan secara menyeluruh, telus, dan tanpa melindungi mana-mana pihak,” tegasnya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada pagi 16 Julai.