Keluarga Mahu Pegawai Berpengalaman Bukit Aman Ambil Alih Siasatan, Kubur Digali Semula Untuk Siasatan

KUALA LUMPUR: Peguam kepada keluarga pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, menggesa agar siasatan lanjutan kes kematian pelajar itu dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, turut berharap pihak berkuasa dapat menggali semula kubur Zara Qairina bagi tujuan bedah siasat kedua untuk menentukan punca sebenar kematian.

“Kami juga memohon supaya satu prosiding inkues diadakan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang menyebabkan kematian Zara Qairina,” kata mereka.

Tegas mereka, pihak keluarga menyambut baik langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah memulangkan laporan siasatan awal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, dengan arahan agar beberapa aspek penting disiasat dan dilengkapkan semula.

“Tindakan ini selaras dengan salah satu daripada empat permohonan kami melalui surat bertarikh 5 Ogos yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar,” jelas mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam memaklumkan bahawa ibu mangsa, Noraidah Lamat, akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, petang ini.

Telefon tersebut dikatakan mengandungi beberapa rakaman audio perbualan antara Noraidah dan anaknya, yang boleh membantu melengkapkan siasatan polis.

Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran blok asrama sekolahnya sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.

Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, dan kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Siasatan awal telah dijalankan namun keluarga mangsa menuntut siasatan lebih menyeluruh bagi memastikan keadilan ditegakkan sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

BBerkaitan

Latest articles