Keluarga Gesa Mangsa Serangan Dibakar Di Bangkok Segera Dibawa Pulang

BANGKOK: Keluarga kepada dua pelancong Malaysia yang menjadi mangsa serangan bakar di Bangkok, Khamis lalu, merayu pihak berkuasa Thailand membenarkan mereka dibawa pulang secepat mungkin sebaik keadaan kesihatan mengizinkan.

Mangsa, Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya, Ong Yik Leong, 26, diserang seorang lelaki penganggur yang dipercayai menyimbah cecair mudah terbakar sebelum menyalakan api berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri, sekitar jam 10 malam.

Bapa mangsa, Gan Kin In, 80, berkata anak perempuannya tiba di Bangkok sehari sebelum kejadian untuk bercuti bersama teman lelakinya.

“Hati saya tidak sedap sejak Xiao Zhen memberitahu akan ke Thailand minggu lalu. Saya rasa masa ini tidak sesuai untuk melancong ke sini, tetapi dia meyakinkan saya ia selamat,” katanya kepada Bernama di King Chulalongkorn Memorial Hospital.

Menurutnya, keluarga kini berdepan kekangan penginapan di luar negara dan berharap laporan perubatan dapat diberikan segera untuk rujukan doktor di Malaysia.

“Kami baru tiba di Bangkok petang ini. Pihak berkuasa mengatur taklimat dan lawatan ke hospital. Kami mahu tahu sama ada mereka boleh dibawa pulang dalam masa terdekat,” jelasnya.

Xiao Zhen kini dirawat di unit rawatan kebakaran dengan 36% lecur tahap kedua di muka, dada dan lengan. Beliau dalam keadaan stabil, sedar, dan berkomunikasi melalui tulisan, namun memerlukan kira-kira sebulan untuk pulih.

Sementara itu, Yik Leong yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Police General Hospital juga dilaporkan stabil.

Suspek, lelaki berusia 30 tahun dari wilayah Sa Kaeo, berjaya ditahan orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.

BBerkaitan

Latest articles