Karam Singh Walia Tinggalkan Legasi Tersendiri – Fahmi

KUALA LUMPUR: Pemergian wartawan alam sekitar tersohor, Datuk Karam Singh Walia, hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mendiang merupakan figura yang cukup dikenali rakyat Malaysia, khususnya menerusi gaya penyampaian unik yang menjadi identitinya sepanjang bertugas di kaca televisyen.

Menurut beliau, penonton setia Buletin TV3 sejak era 1990-an hingga 2014 pasti mengingati keunikan mendiang yang sering menutup laporan dengan rangkap pantun, sekali gus menjadikan penyampaiannya lebih dekat di hati masyarakat.

“Saya sendiri antara yang mengikuti laporan beliau dan amat menghargai dedikasi serta sumbangannya dalam dunia penyiaran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang termasuk adiknya, Jasbant Singh, yang juga Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima.

Terdahulu, Karam Singh Walia dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Klang, Selangor sekitar jam 3.30 pagi tadi.

Pemergian beliau bukan sahaja meninggalkan kekosongan dalam dunia media, malah legasi penyampaian yang penuh jiwa dan identiti tersendiri akan terus dikenang generasi penonton.

BBerkaitan

Latest articles