KUALA LUMPUR: Pemuda PAS menyambut baik seruan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu struktur pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dirombak segera.
Menyifatkannya sebagai satu “wake-up call” yang tepat pada waktunya, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi menyatakan bahawa kegagalan PN untuk bergerak ke hadapan dengan pendekatan politik yang progresif, responsif dan tersusun hanya akan menempah jalan menuju kegagalan.
“Rakyat sudah mula menyuarakan keresahan. Mereka tidak mahu hanya lihat PN bersedia bertanding. Mereka mahu lihat PN bersedia memimpin negara dengan pendekatan moden dan strategi komunikasi politik yang agresif,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa gabungan itu tidak lagi mampu bergantung kepada strategi lama dalam menghadapi arus politik baharu yang lebih mencabar, apatah lagi apabila berhadapan dengan Perdana Menteri yang menjadikan persepsi sebagai senjata utama.
“Setiap gerak-geri Perdana Menteri – daripada menyanyi, bersajak hingga mencipta gimik media – adalah strategi politik persepsi. Ini bukan permainan biasa. PN perlu bertindak luar biasa,” tegas Nadzir.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim menyarankan agar PN melaksanakan rombakan melibatkan pengukuhan Majlis Presiden, jabatan pilihan raya dan pasukan media bagi meningkatkan kesiapsiagaan gabungan itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut Nadzir, cabaran yang lebih besar kini ialah bagaimana PN mahu meyakinkan bukan sahaja pengundi, tetapi juga bakal rakan seperjuangan politik yang sedang memerhati.
“Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, kita akan gagal meyakinkan rakyat – dan lebih malang, kita akan gagal meyakinkan bakal rakan seperjuangan.
“Perubahan ini bukan sekadar retorik, ia adalah tuntutan masa. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut melahirkan kebimbangan terhadap trend sokongan pengundi Melayu yang dilihat hampir tepu terhadap PN berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya kecil yang lalu.