KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan telus berhubung insiden serangan terhadap anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut Anwar, arahan itu telah disampaikan terus kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memastikan tindakan pantas diambil.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan segera,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Dalam nada tegas, Anwar menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan “jahat dan khianat” yang tidak boleh diterima.
“Kita masih belum reda dengan gejala buli di sekolah, kini muncul pula satu lagi tindakan yang sangat dikesalkan,” ujarnya sambil mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Rafizi serta keluarganya.
Insiden yang berlaku sekitar 1.45 tengah hari di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya itu menyaksikan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar penuh menyerang anak Rafizi yang berusia 12 tahun.
Suspek dikatakan mengheret mangsa dan mencucuknya dengan jarum suntikan ketika mangsa bersama ibunya menuju ke kereta.
Rafizi mendakwa kedua-dua suspek menunggang motosikal dan dipercayai mengekori isterinya sebelum bertindak, menunjukkan tanda-tanda serangan itu dirancang lebih awal.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) manakala polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.