PUTRAJAYA: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan kontroversi, Datuk Albert Tei yang didakwa mengganggu ketenteraman di premis Kementerian Komunikasi serta mengeluarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.
Laporan polis tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin bin Ghazali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi.
Mohd Hisyamuddin berkata, selain tindakan mengganggu ketenteraman, individu berkenaan turut dikesan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi dan juga Menteri Komunikasi.
Beliau menegaskan bahawa tindakan hadir ke premis kerajaan dengan tujuan mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi serta menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
”Premis kerajaan merupakan tempat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perlu dihormati serta dipelihara daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran awam,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan individu terbabit, Mohd Hisyamuddin menjelaskan lelaki berkenaan membuat beberapa dakwaan secara terbuka termasuk mendakwa wujud campur tangan kementerian dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya.
Malah, individu itu turut mendakwa Menteri Komunikasi enggan bertemu dengannya serta mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan tanpa disokong oleh bukti yang sah.
Sehubungan itu, beliau berkata laporan polis tersebut dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.
Dalam pada itu, Mohd Hisyamuddin mengingatkan orang ramai bahawa kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi negara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.
”Hak untuk bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan yang berpotensi mengelirukan masyarakat, mencemarkan reputasi individu atau institusi, serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung prinsip kebebasan bersuara yang bertanggungjawab dan tiada mana-mana pihak boleh bertindak sesuka hati sehingga mengganggu urusan kerajaan.
J-KOM turut menyeru semua pihak agar menggunakan saluran yang betul serta berhemah dalam mengemukakan sebarang pandangan atau aduan, dan menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.










